Thursday, November 12, 2009

Rakyat Di utamakan!- Betul ke??



Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin
Disiarkan pada Nov 11, 2009 dalam kategori Isu Semasa
(Antara artikel lepas (Jun 2008) yang menyebabkan Dr. Asri tidak disenangi oleh sesetengah pihak agama dan politik)

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).
Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.
Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).


Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.
Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.
Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.


Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.
Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.


Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.
Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).


Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.
Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.


Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?
Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.
Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.
Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.


Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.
Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.


Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.
Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.


Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).


Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.
Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.
Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?
Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.


Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.
Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?
Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.


Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Thursday, November 5, 2009

Makan-makan di senibong!

Ni gambar makan-makan di Senibong sempena percutian aku kat Malaysia baru-baru ni...!! Terima kasih pada Medan yang hantar gambar-gambar ni!!
Leman: Kau orang ni makan ke melantak.
Mat Over: Apa sangat la Arab tu, aku kat sini pun dah lama kaya tau!!
Ahmad : Nasib baik Ali Sujak tak ikut.... leceh la kalau dia ada!!

Aznan : Eleh leman tu, baru gi Arab dah kerek.... Aku pun dulu dapat offer tau. Cuma aku sayanng kat KL wang jeee... dengan Abang Zack!!
Lagi pun leceh la. Omeer ada kat sana!!


Ahadin : makan, makan... aku bayar. Apa sangatla makan kat Senibong ni!! Aku bawak duit 2 plastik hitam tauu..!!



Jawa : Hei Boboi, aku pun kuat makan juga tau! tapi slow la sikit makan..!
Boboi : Ahh... ada peluang... sebat je laaa!! Masuk ni dah 2 ekor jenahak aku balun.




Md Daud : Nak pergi arab ke tak nak ni...? Pening kepala pikir... kang mem ngarok la pulak...
Aaah.... apa-apa hal, makan dulu...
Labu : Bebudak ni.. nak ajak aku makan ke tak ni?? Kosong je depan aku...
Skroll : Makan tak leh banyak2.... kang buncit macam Leman...





Medan : Kau nak invest kat Public Mutual tak Leman.... Kau kan dah kaya...
Leman : Kau suruh Ahadin la... aku ada projek lain laa.....
Lagi pun, bab invest-invest ni, aku dah serik laa... kau gi ajak Bob laaa!!






Sunday, October 18, 2009

Rindula kat anak-anak abah niii!!




Dah lebih seminggu aku meninggalkan family di Malaysia. Baru seminggu dah rasa rindu... Tak apa, beberapa hari lagi mereka akan menyusur kemari....
Sejak balik dari kampung, aku memang sibuk dengan beban kerja kat plant... Ikutkan kerja tak la teruk sangat, tapi nak menghadap kerenah boss yang 'kerek satu badan' ni membuat aku jadi lemas.... rasa macam nak balik Malaysia hari ni jugaak.... tapi mengenangkan gaji hujung bulan nanti, moral naik balik.... kah-kah!! Teringat kata-kata kawan-kawan dari Olefin... Masa awal hingga pertengahan bulan, rasa moral dah jatuh ke paras terendah... tapi bila tekan ATM hujung bulan, naik balik moral... Tak macam tu Din???
Sekarang.. tiap-tiap hari aku kerja... hatta hujung minggu pun kerja ....
Balik dah lepak, lepas solat Isyak aku dah tido.... sekarang pukul 07 30pm dah masuk Isyak..
Tapi kadang-kadang tu, Lepas maghrib aku pergi Plant balik.... Maklumlah plant tengah running high rate 55t/hr. Dah tu banyak hal la pulak nak kena fikir....
Tapi InsyaAllah, segala-galanya akan bertambah baik.... Kalau tak bertambah baik, aku je la yang balik Malaysia...

Thursday, September 17, 2009

Hari Raya Bukan Hari Sedih



Hari Raya Bukan Hari Sedih
Disiarkan pada Sep 13, 2009 dalam kategori Dakwah
oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin


Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hariraya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hariraya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hariraya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?
Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.
Firman Allah (maksudnya):
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).
Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.
Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).
Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.
Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.

Hiburan
Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.
Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.
Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.
Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.
Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.
Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:
“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).
Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.
Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.
Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.
Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:
“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.
Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.
Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam.

Namun apabila tiba saat yang disuruh gembira iaitu hari raya, didendangkan irama dan drama sedih, menangis di kubur dan berbagai lagi. Kita terbalikkan suasana. Hari raya hari gembira bukan hari sedih. Bak kata sabda Nabi s.a.w: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”

Friday, September 11, 2009

09 09 09 -LLDPE beroperasi sepenuhnya

Alhamdulillah - pada 09 09 09 yang baru berlalu, Yansab LLDPE telah selamat memulakan operasi, setelah bertungkus lumus buat sekian lamanya. Reactor dan Extruder telah beroperasi sepenuhnya.Production kami telah mencapai ke tahap 35 t/jam. InsyaAllah akan ditingkatkan hingga ke 70 t/jam secara berperingkat, bergantung pada bekalan Ethylene dari Olefin plant.
Ada dikalangan kami pulang hingga lewat pagi bahkan hingga 24jam bagi memastikan semuannya berjalan lancar. Adat plant baru, serba sedikit masalah memang tetap ada... Kerana ini, hampir-hampir cuti raya aku tak di'approve'. Akhirnya setelah beberapa rundingan di buat dan atas dasar 'professional' akhirnya cuti aku di 'approve' juga tetapi terpaksa dipendekkan.
Semoga Yansab terus berjaya dan poket kami pun'berjaya' jugak... InsyaAllah.

Selamat Hari Raya- Mari perbaiki Hati

Hari lebaran kian menjelang.... Bimbang tak bekesempatan, jadi saya mengambil kesempatan yang ada ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI. Kalau di Saudi ni kalimah yang selalu diguna ialah EID MUBAROK.
Juga saya mengambil kesempatan untuk meminta maaf zahir dan batin bagi pihak diri sendiri dan ahli keluarga Masdihana, Aina Alya dan Aina Afia , sekiranya ada salah dan silap terhadap saudara-saudara dan para sahabat sekelian samada yang berada di saudi atau di Malaysia.
Juga saya menyeru diri sendiri, ahli keluarga dan saudara-saudara sekelian, supaya sama-sama kita membaiki hati kita yang mungkin 'rosak', 'kelam' dan sebagainya. Semoga hati kita mendapat limpahan cahaya dari Allah s.w.t. Dan dengan ini semoga kita dapat mengeratkan silaturrahim, mengekang nafsu, membuang sifat-sifat hasad dengki dan sifat-sifat mazmumah yang lain.... InsyaAllah. Dengan sisa Ramadhan yang tinggal ini, marilah kita bermuhasabah diri dan membaiki segala kelemahan. Semoga amal ibadah kita di terima Allah, dan semoga dosa dan keslahan kita di ampunkan oleh Allah s.w.t.
" Ya allah, jadikanlah didalam hati kami cahaya, dan penglihatan kami cahaya,dan pendengaran kami cahaya,dan dari kanan kami cahaya, dan dari kiri kami cahaya,dan di atas kami cahaya,dan dibawah kami cahaya, dan di hadapan kami cahaya, dan di belakang kami cahaya dan jadikanlah cahaya untuk kami" - Amiin!!

Sunday, September 6, 2009

Jangan makan telur rebus masa raya


Begini kisahnaya...

Aku baru berkahwin setahun yang lepas dan duduk dengan isteri aku.
Kami duduk berdua sahaja sebab belum dikurniakan anak.
Aku ni ada satu kegemaran iaitu makan telur rebus.
Aku pun tak tahu kenapa aku suka makan telur rebus, sedap agaknya.
Sebelum aku kahwin, aku memang gila telur rebus.
Pagi petang siang malam makan telur rebus.

Tapi semenjak aku kahwin ni aku terpaksa berkorbanlah, iaitu dengan meninggalkan tabiat aku ini. Lama juga aku dah tak pekena telur rebus ni.. sebab orang rumah aku masak sedap-sedap.. so aku dah tak kisah lagilah..

Ceritanya begini, bulan lepas masa aku balik kerja,
tiba-tiba kereta aku rosak..akupun telefon bini aku katakan aku balik lambat sebab kena menapak. Sebab lapar akupun singgah satu kedai makan tu...ada telur rebus lah.. akupun makan nasi dengan telur rebus..lepastu aku order telur rebus lebih lagi untuk diratah.
Sebelum balik aku bungkus lagi 10 biji telur rebus untuk makan sambil berjalan balik nanti.

Tiba je kat rumah aku rasa amatlah kenyang.. maklumlah balas dendam sebab lama tak pekena telur rebus. Sebelum aku masuk kerumah,isteri aku tiba-tiba cakap dia ada 'surprise' untuk aku malam ni.
Dia suruh aku tutup mata dengan kain hitam yang diikat kemas dibelakang kepalaku.
Dan dipimpinnya aku sampai ke meja makan Aku duduk dikerusi dan isteriku pesan jangan cuba buka ikatan yang menutup mataku.
Aku nak pergi toilet sebab perutku mula buat hal, tapi malaslah nak spoilkan 'surprise' isteriku ini. Aku pun tahan ler...
Tetiba telefon berbunyi, isteriku pergi mengangkatnya.
Apa lagi ada chance aku pun melepaskan kentut yang ditahan sekian lama.. Fuuuuhhh lega rasanya... bau boleh tahan... maklumler berapa biji telur tah aku bedal tadi...
Alamak.. ada lagi satu la.. aku pun angkat sebelah punggung dan lepaskan satu das lagi.. bunyinya PROOOTTT!! .. fuh bau jangan cakap beb.. aku pun tak tahan bau dia... aku kipas pakai tangan angin dia kasi kurang sikit bau dia... adalah macam bau telur tembelang sikit..

Tetiba aku dengar bunyi telefon berdering lagi... hai lamanya tunggu isteri aku ni, aku tak sabar lagi ni nak tahu surprise dia ni.
Aku terasa ada lagilah, kali ni memang aku rasa power punyalah.. aku kumpul dulu kasi padu..lepastu aku bangun, tonggeng sikit dan lepaskan angin taufan tu... PRRROOOOOTTT!!!!... fuhh lega... bergegar sikit meja makan dibuatnya... peh tak tahan aku bau dia power gila..
aku tutup hidung aku.. aku rasa bau dia ada sikit-sikit macam bangkai la.. mau mati bunga atas meja makan aku ni.. sambil tu aku sebut 'ahhhh.... lega...'.
Adalah dekat 5 minit baru bau bangkai tu hilang..
Lepas tu isteri aku kembali dan minta maaf sebab lambat.. lalu dia kata 'SURPRISE!!HAPPY BIRTHDAY!!' dan suruh aku buka kain penutup mata aku..
laaa birthday aku hari ni le... camne boleh lupa ni..
Aku buka le kain penutup mata aku.. mulutku terus melopong...
ALAMAK!!! Benda pertama aku lihat.. muka merah padam pak mertua aku, mak mertua aku, adik ipar aku dua orang, duduk keliling meja makan.
Bos aku dengan jiran sebelah rumah rumah aku pun ada!!. ? jadi aku pun nak kaber malu, aku tanya la kat pak mertua aku. 'dah lama ke pak sampai?'.Dan pak mertua aku pun jawab.'Dah lama. Sebelum kentut pertama lagi!!'

(Lawak raya- kalau pernah baca, anggap siaran ulangan je lahh)
Tension- cuti tak confirm lagi niii... nak tido pun tak boleh!!

Koleksi Lagu Raya 3

Kepulangan Yang dinanti

Bergema suara takbir di angkasa
Selembut bayu meresap ke dalam jiwa
Betapa Hatimu terharu
menyambut anak mu kembali

Terbayang senyuman di wajah nan sepi
Pulangnya anak mu di pagi yang murni
Kasihmu seharum kasturi
Melambai anakmu kembali

Dalam dakapan keheningan maya
Pertemuan yang menyentuh di jiwa
Sekian lamanya berpisah
Harapan kini menjadi nyata

Kiranya perpisahan terjadi lagi
Anakmu pergi mencurahkan bakti
Doaku seiiring selalu
Semoga bertemu kembali

Pulanglah di Hari Raya
Begitulah harapan ayahanda

Koleksi lagu raya 2

Dari Jauh Kupohon Maaf

Dalam dingin subuh hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya
menitis air mata
Terbayang suasana permai desa

Rindu hati ini inginku kembali
Pada ayah bonda dan saudara
Tetapi aku harus mencari rezeki
Membela nasib kita bersama
( korus )
Hanya ku sampaikan doa
dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf

Jangan sedih pagi ini
tak dapat kita bersama
Meraikan aidil fitri yang mulia
Restu ayah bonda kuharap selalu
Hingga aku pulang kepadamu

( ulang korus )
Restu ayah bonda kuharap selalu
Demi anakmu yang kini jauh

Koleksi lagu raya 1

Pulanglah-Aisyah



Sayang di hari yg mulai ini
kupohon keampunan
hanya satu yg ku pinta pulanglah...


Termenung ku sendiri
memendam rindu tidak menentu
kasih suci murni yang kita bina
hapus hancur oleh kata fitnah


di pagi hari raya
hati sayu mengenang dirimu
mudahnya kau menggantikan diriku
seolah cintaku tak berharga


apakah suratan
aidilfitri suatu titik akhir
sekian lama bercinta
kau tiada di hari mulia


keampunan ku pohon
sekiranya aku yang berdosa
pulanglah ku merindui mu sayang
ku menanti dengan hati rela


apakah suratan
aidilfitri suatu titik akhir
sekian lama bercinta
kau tiada di hari mulia


keampunan ku pohon
sekiranya aku yang berdosa
pulanglah ku merindui mu sayang
ku menanti dengan jiwa raga


pulanglah ke pangkuan ku oh sayang
ku menunggu mu di hari raya..

Tuesday, September 1, 2009

Harga petrol - Rakyat Diutamakan!!

Nak jimat kalo... pasang layar lah kat kereta kau... pakai tenaga angin jeee.... Kalau boleh, ini lah menteri-menteri kita nak suruh pada rakyat Malaysia!!... Pas tu bagi gula-gula masa pilihanraya!!!




Rakyat tidak perlu bimbang kerana kenaikkan ini tidak akan mebebankan rakyat dan harga petrol di Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat... Nah ambik gula-gula ni!!




Sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia Ke 52, kerajaan telah menghadiahkan rakyatnya dengan kenaikan harga minyak..... Ron 95(RM1.80) dan Ron 97(RM2.05)....
Hati-hati, gaya bahasanya kali ini agak berbeza.....

Bangkit lah rakyat Malaysia.... MERDEKAKAN fikiran anda.. Jangan terus di pergula-gulakan oleh UMNO.


(11 Ramadon 1430H)

Tuesday, August 25, 2009

PAS menang lagi

Alhamdulillah.... Pas menang lagi dalam siri pilihanraya kecil. Kali ini di Permatang Pasir. Namun di sebalik kemenangan itu ada satu tanggungjawab yang lebih besar menanti. Memenuhi keperluan rakyat seiiring dengan syariat Islam. Dan jangan lupa keiklasan Lillahi Taala adalah sangat penting... Barulah Islam boleh berdiri tegak. Dan suka aku mengingatkan supaya berdakwahlah dengan jalan terbaik dan berhemah.... bukan dengan menghina , mengutuk memaki lawan. Ini bukanlah kaedah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w tidak pernah memaki hamun musuhnya walaupun dalam keadaan marah.... Biarkanlah UMNO dengan nafsu nafsinya... kita jangan terpedaya dengan perangkap syaitan!!
InsyaAllah, manusia akan lebih faham akan Islam dan semoga Islam terus tertegak di bumi Malaysia yang BELUM MERDEKA ini..... InsyaAllah.

Niat

Nawaitu sauma ghadin, hari ini lauk sardin.... teringat aku masa aku belajar di ITM dulu.Pantun dua kerat masa nak ambil makan sahur di dewan makan HEP....

Apa kena mengena dengan tajuk niat...
Di dalam Mazhab Shafie, niat menjadi rukun dalam solat, puasa dll. Niat memang penting... kalau sesuatu amalan tidak di sertakan dengan niat, maka amalan itu tak diterima. Atau sesuatu amalan itu salah niatnya... maka apa yang di dapati ialah bersesuain dengan niatnya itu...
Ada satu salah faham mengenai niat:
Masa kita di sekolah dahulu, niat itu di sertakan dengan lafaz....dan disebutkan didalam hati. Maka sibuklah kita menghafal... Usaolli fardozuhri..... atau nawaitu sauma ghadin an adai fardishahri.....
Sebenarnya niat itu ialah, hasrat, tujuan atau objektif kita melakukan sesuatu... dan tak ada kena mengena dengan lafaz langsung....
Jadi kalau kita berpuasa atau solat, secara automatik... perbuatan itu kita dah sertakan niat....
Lain lah jika kita solat hanya nak menunjuk-nunjuk.... maka yang kita dapat ialah apa yang kita niatkan iaitu menunjuk-nunjuk, bukannya pahala solat...
Sebab tu kita tengok oran-orang arab kalau solat, tetiba-tetiba je dah siap takbiratulikhram. Kalau di Malaysia, masa angkat takbir tu... ramai yang terkial-kial.... usolli... usolli...usolli.... payahnya nak berniat.... (Nota: bukan semua solat orang arab boleh jadi rujukkan)
Aku tak kata, menjadi satu kesalahan jika kita menyebut lafaz niat... tetapi, janganlah lah kita salah faham akan konsep niat.. Untuk rujukan, sila ke blog ustaz Asri:http://drmaza.com/home/?p=704 . Aku hanya cuba membawa kefahaman di kalangan kita, dan lebih baik kita merujuk kepada orang lebih berkaliber dalam bidangnya...
Semoga ini akan membawa kebaikan dan semoga kualiti amalan kita akan bertambah...
(3 Ramadhan 1430H)

Thursday, August 20, 2009

Aina Afia-4 Bulan

Dah besar dah anak no 2 aku ni... cepatnya masa berjalan. Dah pandai apa? Tengok kat gambar tu... dia dah pandai meniarap sendiri. Kejap lagi pandaila merangkak tu... InsyaAllah. MashaAllah-Tabarakallah.
Ni tadi baru je balik dari ambil suntikan vaksin(scheduled vacination) untuk 4 bulan. Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat Allah.. Afia nampaknya sihat....

(28 Shaaban 1430H)

Ahlan Ramadhan

Assalamualaikum...
Sekali lagi kita berpeluang insyaAllah menemui bulan Ramadhan.... masa cepat berlalu. Aku dah bertemu 2 Ramadhan di Saudi ni.... dan masih belum balik-balik Malaysia lagi. Rasa rindu pada keluarga dan tanah air kian menebal. InsyaAllah aku akan balik Syawal nanti.
Aku mengambil kesempatan ini, meminta ampun dan maaf kepada anak, isteri, adik beradik, ibu-bapa mertua, kaum keluarga dan sahabat handai, juga kepada seluruh umat islam amnya atas apa jua jenis kesalahan atau hak-hak yang tak tertunai sepanjang masa yang lalu atau akan datang.... semoga bulan Ramadhan ini akan membawa keinsafan dan keberkatan kepada kita dan semoga amalan-amalan kita diterima Allah. InsyaAllah.
28 shaaban 1430H

Saturday, August 8, 2009

Hajat Kesampaian!

Ikan apa ni eek?? Amacam Beejan... ada berani kaa??
Muka masin... baru balik mancing.

Sebahagian dari hasil pancingan.... Alhamdulillah, boleh tahan!!
Sudah lama aku 'mengidam' nak menduga Laut Merah. Kerap kali aku ke pinggir pantai dan memasang angan-angan. Apa boleh buat, masa dan keadaan belum mengizinkan.... Akhirnya, Alhamdulillah... peluang itu datang juga. Akhirnya pada hari rabu, 22 july yang lalu, aku, Ramizan dan beberapa orang rakan dari Indonesia meredah Laut Merah untuk memancing. Hasilnya, boleh tahan, seperti dalam gambar. Memancing dari jam 12 malam hingga 6 pagi, dengan bot yang agak mewah. Cerita atas bot, sama jelah dengan ekspidisi memancing yang lain.... sama macam kat Malaysia.
Amacam Arnab? Balik2 mancing kat Kong-Kong.... tak berhajat ke mari ke??
Ni tengah planning untuk next trip pulak ni!!
InsyaAllah, raya nanti aku balik.... Bolehlah atur projek ke Pulau Tinggi!!
(16 Syaaban 1430H)

Thursday, July 30, 2009

Gerhana Matahari terpanjang abad ini, 22 Julai 2009

Keadaan di Shanghai sebelum dan selepas gerhana matahari penuh.
Melihat gerhana matahari di Osaka Jepun... ada yang menggunakan Teleskopp dan kacamata khas.


Gerhana matahari di lihat dari Pulau Pinang
Posted on 23:36 No Comments
(dipetik dari Astromas blogspot)
Assalamualaikum & hai...
Maafkan saya kerana tidak sempat menghebahkan kepada anda akan peristiwa astronomi iaitu gerhana matahari separa yang berlaku pada 22 Julai 2009 yang lepas. Saya sendiri pada ketika itu tidak berkesempatan untuk mengikuti pencerapan tersebut kerana kesibukan dengan urusan posting di hospital.Berikut adalah diubah suai dari artikel dari Berita Harian.
Mencerap Gerhana di Malaysia
Rakyat Malaysia terutamanya di kawasan utara Semenanjung telah berpeluang untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang bermula jam 8.23 hingga 9.48 pagi pada hari Rabu yang lepas. Bagaimanapun, penduduk Malaysia hanya dapat melihat 17.8 peratus saja kawasan permukaan matahari ditutupi oleh bulan ketika gerhana separa berlaku. Walaupun hanya dapat melihat gerhana matahari separa secara minimum namun orang ramai termasuk pelajar sekolah tetap mahu melihat keunikan fenomena berkenaan.

Kejadian gerhana matahari separa itu terbentuk berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang juga gerhana matahari terpanjang di abad ini iaitu selama enam minit 39 saat. Pada abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019.
Gerhana di Benua Asia
Gerhana paling panjang abad ke-21 ini bermula pagi Rabu lepas, menyebabkan sebahagian rantau Asia bergelap, terutama di India dan China. Pencerap amatur dan sainstis mengambil kesempatan merakam fenomena gerhana yang dianggap bersejarah. Selain menggunakan peralatan pencerap, mereka turut menyewa khas kapal terbang semata-mata untuk menyaksikan fenomena yang kebanyakan penduduk menganggapnya sebagai ganjil.
Kon bayangan gerhana atau 'umbra' mula muncul di Gujarat, barat India jam 6.30 pagi waktu tempatan (0100 GMT). Ia kemudian bergerak merentasi benua India ke bandar suci masyarakat Hindu, Varanasi dan ke tebing Sungai Ganges sebelum ke selatan Semenanjung Bangladesh, Bhutan di Nepal hinggalah ke tanah besar China. Bagaimanapun, awan monsun di India dan cuaca buruk di China mengecewakan berjuta mereka yang menyaksikan fenomena gerhana ini.
Di Mumbai, ratusan penduduk berkumpul di Planetarium Nehru yang bersama peralatan pencerap serta memakai kaca mata hitam hampa apabila terpaksa berpayung dan memakai baju hujan. Ini kerana malam tadi hujan dilaporkan lebat sehingga awal pagi ketika gerhana berkenaan.
Suka Duka & Peristiwa Menarik Sepanjang Gerhana Julai 2009
Seorang wanita terbunuh dalam satu kejadian rempuhan di sungai Ganges di India, di mana penganut Hindu berkumpul untuk menyaksikan fenomena itu. Berjuta yang lain, diselubungi ketakutan, menyembunyikan diri mereka di dalam rumah.
Di Beijing yang dijangka dapat melihat gerhana sepenuhnya, kabus tebal berwarna kelabu pada pagi mengecewakan penduduk yang bangun pagi untuk menyaksikan fenomena berkenaan.

Pemerhati di Shanghai juga kecewa apabila hujan gerimis pada sebelah pagi. Namun apabila langit siang hari mula bertukar gelap seperti malam selama kira-kira lima minit, pemerhati menjadi teruja semula."Walaupun hujan turun, saya tidak mahu suasana muram. Saya mahu menikmati hari yang istimewa ini," katanya.
Di Bangladesh, penduduk turut bersuka ria. "Ia adalah saat yang jarang berlaku, saya tidak pernah terfikir untuk melihatnya dalam hidup saya," kata Abdullah Sayeed, seorang pelajar kolej yang berkunjung ke bandar Panchagarh dari ibu kota Dhaka untuk menyaksikannya.

Katanya kereta di bandar itu memerlukan lampu ketika "siang bertukar malam secara tiba-tiba." Orang ramai berpelukan antara satu sama lain dan sesetengahnya meniup wisel apabila gerhana bermula, katanya.
Gerhana penuh matahari semalam hanya dapat dilihat di Asia dan adalah fenomena paling lama sejak 11 Julai 1991, apabila gerhana penuh berlaku selama enam minit 53 saat dapat dilihat dari Hawaii ke Amerika Selatan. Tiada lagi gerhana penuh yang lama berbanding semalam sehingga 2132.


Salam hormat,

ibnu_ali

Saturday, July 18, 2009

Antara Keperluan dan kemahuan


Dipetik dari blog YB Idham Halim
Ada orang yang hanya berpendapatan SR2000 sebulan, mereka boleh membina hidup yang sempurna. Ada yang berpendapatan melebihi SR10,000... tapi rumah tangga tidak aman, jauh dari Allah...
Dialog dibawah menggambarkan akan bagaimana syitan berusaha menjauhkan kita dari Allah dan menjauhkan kita dari beroleh kebahagiaan...
Semoga jadi teladan...
Dan dari artikel ini, banyak program yang dianjur atau direstui UMNO, jelas seiiring dengan kehendak syaitan.....
RENUNGKANLAH....!!
Contoh: Akademi Fantsia, sure heboh,pelbagai sambutan keramaian,majalah2 hiburan dan lain2.....

17 Julai 2009

Sedikit Renungan Dicelah Kesibukan Kita Setiap Hari
.
Email Oleh : anuarani
Dalam suatu pertemuan iblis, syaitan dan jin, dikatakan: "Kita tidak dapat melarang kaum muslim ke Masjid", "Kita tidak dapat melarang mereka membaca Al-Qur'an dan mencari kebenaran", "Bahkan kita tidak dapat melarang mereka mendekatkan diri dengan Tuhan mereka Allah dan Pembawa risalahNya Muhammad", "Pada saat mereka melakukan hubungan dengan Allah, maka kekuatan kita akan lumpuh."
"Oleh sebab itu, biarkanlah mereka pergi ke Masjid; biarkan mereka tetap melakukan kesukaan mereka, TETAPI CURI WAKTU MEREKA , sehingga Mereka tidak lagi punya waktu untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah"."Inilah yang akan kita lakukan," kata iblis.
"Alihkan perhatian mereka dari usaha meningkatkan kedekatannya kepada Allah dan awasi terus kegiatannya sepanjang hari!".
"Bagaimana kami melakukannya?" tanya para hadirin yaitu iblis, syaitan, dan jin.
Sibukkan mereka dengan hal-hal yang tidak penting dalam kehidupan mereka, dan ciptakan tipudaya untuk menyibukkan fikiran mereka,"
Jawab sang iblis "Rayu mereka agar suka BELANJA, BELANJA DAN BELANJA SERTA BERHUTANG, BERHUTANG DAN BERHUTANG".
"Pujuk para isteri untuk bekerja di luar rumah sepanjang hari dan para suami bekerja 6 sampai 7 hari dalam seminggu, 10 - 12 jam seminggu, sehingga mereka merasa bahawa hidup ini sangat kosong." "Jangan biarkan mereka menghabiskan waktu bersama anak-anak mereka.""Jika keluarga mereka mulai tidak harmoni, maka mereka akan merasa bahwa rumah bukanlah tempat mereka melepaskan lelah bila pulang dari bekerja".. "Dorong terus cara berfikir seperti itu sehingga mereka tidak merasa adanya ketenangan di rumah.""Hasut mereka untuk membunyikan radio atau kaset selama mereka berkenderaan". "Dorong mereka untuk menonton TV, VCD, CD dan PC di rumah. Sepanjang hari.
Bunyikan muzik terus menerus di semua restoran maupun pusat membeli-belah di dunia ini.""Hal ini akan mempengaruhi fikiran mereka dan merosak hubungan mereka dengan Allah dan RasulNya""Penuhi meja-meja rumah mereka dengan majalah-majalah dan tabloid". "Sajikan mereka dengan berbagai berita dan gosip selama 24 jam sehari"."Serang mereka dengan berbagai iklan-iklan di jalanan". "Banjiri kotak surat mereka dengan informasi tak berguna, katalog-katalog, undian-undian, tawaran-tawaran dari berbagai macam iklan."Muatkan gambaran wanita yang cantik itu adalah yang berbadan langsing dan berkulit mulus di majalah dan TV, untuk menggoda para suami hingga mereka terfikir bahwa PENAMPILAN itu menjadi unsur terpenting, sehingga membuat para suami tidak tertarik lagi pada isteri-isteri mereka""Buatlah para isteri menjadi sangat letih pada malam hari, buatlah mereka sering sakit kepala"."Jika para isteri tidak memberikan cinta yang diinginkan sang suami, maka akan mulai mencari hiburan di luar". "Hal inilah yang akan mempercepatkan retaknya sesebuah keluarga"
"Terbitkan buku-buku cerita untuk mengalihkan kesempatan mereka untuk mengajarkan anak-anak mereka akan makna dan kepentingan bersolat.""Sibukkan mereka sehingga tidak lagi punya waktu untuk mengkaji bagaimana Allah menciptakan alam semesta.
Arahkan mereka ke tempat-tempat hiburan, fitness, konsert2, panggung2 wayang dan pusat2 yang melekakan""Buatlah mereka menjadi SIBUK, SIBUK DAN SIBUK."
"Perhatikan, jika mereka jumpa dengan orang soleh, bisikkan gosip-gosip dan percakapan tidak berfaedah, sehingga percakapan mereka tidak mendatangkan apa-apa pahala sebaliknya berbuat dosa semata-mata."Isi kehidupan mereka dengan keindahan-keindahan semua yang akan membuat mereka tidak punya waktu untuk mengkaji kebesaran Allah."
"Dan Dengan segera mereka akan merasa bahwa rezeki, kebaikan/kesihatan keluarga adalah merupakan hasil usahanya yang kuat (bukan atas izin Allah)."PASTI BERHASIL, PASTI BERHASIL." "RENCANA YANG BAGUS ." Iblis, syaitan dan jin kemudian pergi dengan penuh semangat melakukan tugas MEMBUAT MUSLIMS MENJADI LEBIH SIBUK, LEBIH KELAM KABUT, DAN SENTIASA HURA-HURA".
"Dan hanya ada sedikit waktu saja untuk beribadat kepada Allah maha Pencipta.""Tidak lagi punya waktu untuk bersilaturahmi dan saling mengingatkan akan Allah dan RasulNya".

pertanyaan saya adalah, "APAKAH RENCANA IBLIS INI AKAN BERHASIL???"
"ANDALAH YANG MENENTUKAN..!!!"

Monday, July 13, 2009

Petikan dari Blog Ustaz Asri


Buat Renungan penyokong UMNO - apa sebenarnya yang kamu cari??


Jangan Jatuhkan Kelantan

Disiarkan pada Jul 11, 2009 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan
“Melihat kepada usaha-usaha islamisasi di Kelantan yang telah dan sedang dilakukan, maka saya berpendapat sebarang kegiatan untuk menjatuhkan Kerajaan Kelantan yang sedang ada amat tidak wajar dan menyanggahi ruh Islami seorang muslim, bahkan jiwa seorang insan biasa yang adil dalam penilaian pun.
Biarlah Kelantan dengan caranya, mereka muslim, mereka cuba memerintah dengan pendekatan yang tidak menyanggahi syariat, sebaliknya cuba memenuhinya. Usaha menjatuhkan Kelantan hanya menimbulkan salahfaham mereka yang bersemangat Islam terhadap Kerajaan Pusat.”

Sunday, July 12, 2009

Kenangan mengusik hati!!


Tadi aku dapat email dari seorang sahabat lama.... geng-geng sepengajian di ITM dulu. Dia ada scan gambar kami semasa sama-sama belajar dulu. Terkekek-kekek anak dan isteri aku tengok gambar tu... apa ceritanya kawan-kawan aku yang lain yee...? Tengok gambar aku kat atas tu... pemalu je kan??